Saturday, April 26, 2008

Tengku Razaleigh Sanggah Penubuhan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia

KOTA BHARU 10.30pm, 25 April – Y.B.M Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dalam satu majils Sambutan Mauludirasul di Balai Islam, Lundang telah menjawab beberapa soalan yang di kemukan wakil-wakil Umno bahagian pada sesi soal jawab yang dibuka selama satu jam. Semasa menjawab soalan dari wakil satu bahagian Umno yang bertanya tentang sejauh mana beliau bersetuju dengan komen-komen bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir dalam media-media harian yang banyak mengkritik pucuk pimpinan Umno sekarang, beliau sebagai berkata bahawa beliau tidak bersetuju dengan setengah-setengah komen yang terlalu berbentuk peribadi dan urusan-urusan perniagaan.

Tengku Razaleigh juga menyatakan tidak bersetuju dengan pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini berkenaan penstruktur semula Badan Pencegah Rasuah kepada Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia yang mana katanya, Suruhanjaya ini juga akan melapurkan terus kepada Perdana Menteri. Mengikut beliau Suruhanjaya ini juga akan balik kepada asal yang mana tidak mampu menjalankan tugas dengan telus dan adil tanpa mengira kedudukan orang yang bersalah. Beliau menyarankan supaya Suruhanjaya ini melapurkan terus kepada Parlimen demi untuk menetukan keberkesanan setiap tindakan. Majlis tesebut telah berakhir pada jam 12.00 malam.

- Wohgomok


Komen Wohgomok: Memang betul pun apa yang dikatakan Ku Li tentang Suruhanjaya tu, tengok apa dah jadi dengan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia yang hanya layak dinamakan semula dengan nama “SuruhanSaya Pilihanraya Malaysia”. Susah-susah kita berjuang dalam Pakatan Rakyat sajalah Tengku, Tengku pilih saja parti mana yang Tengku nak sertai, tapi Wohgomok agak Tengku lebih berminat pada PAS - Sorry Tengku.

Monday, April 21, 2008

Kisah Beruk dan Manusia Lawan Tarik Tali


Teringat Wohgomok semasa zaman kecil-kecil dulu, Wohgomok selalu tidur dengan nenek dan setiap malam sebelum tidur, nenek akan menceritakan bermacam-macam kisah dongeng untuk melenakan cucu kesayangannya. Diantara kisah-kisah yang Wohgomok masih ingat ialah kisah beruk dan manusia main lawan tarik tali. Dalam posting ini Wohgomok ingin menceritakan semula kisah dongeng yang di ceritakan nenek dahulu dengan sedikit pengubahsuaian, kerana semasa nenek menceritakan pada Wohgomok masa itu mungkin nenek banyak meringkaskannya disebabkan pada fikirannya hanya sekadar untuk melenakan cucunya sahaja.

Sebelum Wohgomok menceritakan kisah ini, terlebih dahulu di maklumkan bahawa kisah ini tiada kena mengena dengan sesiapa, samada yang masih hidup atau yang sudah meninggal serta yang masih memerintah atau yang sudah memerintah. Jikalau ada apa-apa persamaan, itu adalah kebetulan sahaja.

Mengikut cerita nenek pada zaman dahulu manusia dan beruk boleh berintraksi dengan baik, beruk memahami bahasa manusia dan manusia pula memahami bahasa beruk. Maka tersebutlah kisah didalam sebuah kampung yang dikuasai oleh kumpulan beruk yang mana ketuanya adalah seekor beruk yang sangat berkuasa dan di geruni oleh semua kumpulan beruk dan juga manusia di kampung itu.

Pada suatu hari ketua beruk ingin megadakan satu perlawanan tarik tali diantara kumpulan beruk dan manusia yang menawarkan kuasa pemerintahan kampung sebagai hadiahnya. Kata nenek, perlawanan yang sebegini memang selalu diadakan dikampung itu tetapi selalunya kumpulan beruk yang menang. Maka ketua beruk pun mulalah mengira hari untuk menetapkan tarikh yang sesuai untuk diadakan perlawanan dan siapakah yang patut mengadili perlawanan tersebut. Setelah mendapat ilham, ketua beruk pun menetapkan tarikh yang boleh dikira sebagai tarikh bertuah kepada kumpulan beruk sekaligus memilih pengadil yang telah biasa mengadili perlawanan yang seperti ini serta sentiasa berpihak kepada kumpulan beruk. Pengadil yang di maksudkan ialah ketua kepada kumpulan kera yang sentiasa meminta bantuan makanan dari ketua beruk. Apabila ketua beruk mengumumkan bahawa pengadil yang di pilih adalah ketua kera maka riuh-rendahlah kumpulan manusia dikampung itu dengan bermacam-macam bantahan. Oleh kerana kampung itu telah lama dikuasai oleh kumpulan beruk maka bantahan kumpulan manusia tidak di endahkan. Kumpulan manusia pun terpaksalah akur dengan keputusan ketua beruk.

Apabila tiba hari perlawanan maka gelanggang yang lengkap dengan garisan penentu kalah menang telah tersedia. Pengadil, si ketua kera pun tibalah dengan membawa tali yang telah sedia diikat dengan kain putih (agaknya lambang ketelusan pengadilan) ditengah-tengahnya sebagai tanda penentu kemenagan. Ketua kera yang berada ditengah-tengah tali pun bertanya kepada semua peserta tarik tali tersebut samada sudah bersedia atau belum. Bila semuanya sudah bersedia, maka ketua kera pun memulakan perlawanan. Kata nenek, kekuatan kumpulan manusia pada perlawanan itu agak berlainan daripada perlawanan-perlawanan yang telah lepas. Nenek juga mengagak, mungkin kumpulan manusia pada perlawanan itu telah menjumpai jamu-jamu hebat atau telah mengetahui dimana kelemahan-kelemahan kumpulan beruk atau mungkin juga beberapa ahli kumpulan beruk telah belot kepada ketuanya. Perlawanan pun bermulalah dengan hebatnya. Dengan sekali tarik sahaja, kumpulan manusia telah hampir melepasi garisan kemenagan. Namun sebagaimana yang diketahui ketua kera adalah pengadil yang berat sebelah, beliau telah mengenjakkan kain putih yang diikat pada tengah-tengah tali supaya tidak melepasi garisan kemenangan. Kumpulan manusia bukan tidak menyedari apa yang dibuat oleh pengadil, si ketua kera tadi. Akan tetapi apa yang boleh dibuat kerana kuasa mutlak penentu perlawanan adalah di tangan si ketua kera. Kumpulan manusia pun mulalah menggabung seluruh tenaga lalu menarik dengan sekuat-kuatnya sehingga semua peserta-peserta kumpulan beruk tersungkur kehadapan termasuk dengan ketua kera yang berpegang pada tali ketika itu kerana hendak mengenjak penanda kain putih tadi. Sampai disini cerita nenek, Wohgomok terus terlena.

Malam keesokannya nenek ingin menyambung cerita lagi.Nenek bertanya setakat mana cerita semalam. Wohgomok kata, setakat semua kumpulan beruk tersungkur. Lalu nenek segera menyambung ceritanya dengan berkata, setelah ketua kera dan semua peserta kumpulan beruk tersungkur maka bangunlah semula peserta-peserta kumpulan beruk dengan muka yang amat garang sekali sedangkan ketua kera pengsan sekejap. Melihatkan kegarangan muka kumpulan beruk maka kumpulan manusia pun bersedialah untuk mempertahankan diri. Rupa-rupanya peserta-peserta kumpulan beruk tadi tidak menerkam kepada kumpulan manusia tetapi mereka menerkam kepada ketuanya yang ketika itu juga berada disitu. Mereka memaki hamun ketua mereka sehingga ketua mereka hairan dengan kelakuan anak-anak didiknya yang biasanya tidak pernah membantah segala perkataannya.

Nenek berkata lagi. Memang telah diketahui oleh penduduk kampung itu bahawa ketua beruk adalah seekor beruk yang degil. Beliau tidak endah dengan maki hamun kumpulan beruk tadi. Beliau masih mengatakan beliaulah yang paling berkuasa dan semua kumpulan beruk dan manusia mesti mendengar apa katanya.

Disebabkan terlampau penat akibat terlalu banyak bermain di siang hari, Wohgomok tertidur sebelum nenek menghabiskan ceritanya. Mungkin di lain malam nenek akan menyambung semula cerita beruk tadi.

Salam dari Wohgomok

Saturday, April 19, 2008

Murtad – Antara Aqidah dan Status Ugama


Semakin berkembang pembangunan semakin betambahlah juga berita-berita murtad disana-sini. Masyarakat Melayu kita hari ini seolah-seolah tidak sensitif lagi dengan pencemaran kepada ugama yang di anuti mereka sendiri iaitu Islam. Bagi sesetengah mereka, panduan hidup yang di tentukan dalam Islam bukanlah sesuatu yang penting dalam kehidupan seharian. Tidak kurang juga yang menganggap Islam sebagai penghalang kepada kemajuan diri yang mereka kejar. Bahkan ada juga yang lebih berani dengan mengatakan jika semua nak ikut Islam maka masyarakat Melayu akan ketinggalan di belakang bangsa-bangsa lain yang telah mencapai kemajuan. Daripada sini maka wujudlah berbagai-bagai masalah masyarakat yang amat sukar untuk di selesaikan. Diantara masaalah tersebut ialah seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan wanita bukan muhrim, kelahiran anak-anak luar nikah, penagihan dan pengedaran dadah, curi, ragut, rompak, samun, pembunuhan, samada yang terancang atau tidak terancang serta yang lebih mamalukan lagi ialah keputusan menukar ugama bagi golongan Melayu Islam atau lebih popular dengan istilah MURTAD.

Dalam posting ini Wohgomok ingin menumpukan kepada perkara murtad dan keperihatinan pihak berkuasa serta masyarakat Melayu keseluruhannya. Nampaknya pihak berkuasa dan masyarakat Melayu kita hari ini lebih perihatin atau memberi tumpuan kepada kes-kes murtad yang telah berlaku, tetapi tidak kepada memikirkan cara untuk mengelakkan daripada berlakunya murtad dan apakah puncanya yang menyebabkan berlakunya murtad. Tuduh menuduh dan kutuk mengutuk sering terdengar apabila di beritakan berlakunya kes mutad. Contoh utama yang ingin Wohgomok kemukakan disini ialah kes Lina Joy yang baru-baru ini dihebohkan (bukan Jom Heboh) di media-media cetak dan elektronik. Bahkan ada yang berdemo apabila Lina Joy memfailkan kes di mahkamah untuk menghapuskan status ugama Islam yang tercatit didalam kad pengenalan beliau. Bagi pihak yang berkuasa pula beria-ia mempertahankan supaya status ugama Islam yang tercatit dalam MyKad Lina Joy tidak di hapuskan.

Dalam kes Lina Joy ini mungkin Wohgomok mempunyai pandangan yang sedikit berbeza dan bercanggah dengan pandangan umum (Kalau Wohgomok silap diharap saudara-suadara dapat membetulkannya, tapi diharap tidak mengutuk). Bagi Wohgomok, apalah yang di sibuk-sibuk sangat pasal status ugama Islam yang tercatat dalam kad pengenalan Lina Joy. Aqidah beliau sudah pun jauh dari Islam, bahkan beliau sudah tidak boleh di anggap sebagai seorang Islam lagi. Kalau status ugama Islam di kekalkan dalam kad pengenalannya, mungkin suatu kekeliruan akan berlaku sekiranya Lina Joy didapati meninggal dunia di suatu tempat dimana orang tidak mengenalinya. Mungkin mereka akan kebumikan jenazah beliau di tanah perkuburan Islam, kerana status ugama simati hanya dikenali melalui kad pengenalan yang dijumpai. Sedangkan kalau mengikut hukum Islam, orang-orang yang telah mengishtiharkan diri sebagai bukan Islam atau murtad ini tidak boleh dikebumikan mengikut cara Islam bahkan perkuburannya juga mesti diasingkan. Oleh yang demikian Wohgomok ingin mencadangkan kepada pihak yang mempunyai kuasa supaya tidak menyekat pertukaran status ugama yang tercatat dalam kad pengenalan orang-orang yang telah murtad tetapi hendaklah di masukkan status ugama yang sedang dianutinya pada ketika itu dengan menambah perkataan MURTAD didalam kurungan selepas status ugama yang di anuti. Sebagai chontoh, sekiranya seseorang Islam itu berpindah ke ugama Kristian, maka status ugamanya haruslah di tulis seperti ini, SATUS UGAMA: KRISTIAN (MURTAD). Biar padan muka dia, biar semua orang tahu bahawa dia adalah murtad.

Mungkin sifat semi panas baran Wohgomok dah bermula, tapi itulah yang Wohgomok rasakan salah satu perubahan yang perlu dilakukan demi maruah Islam.

- Salam dari Wohgomok

Friday, April 18, 2008

Menteri Besar Kelantan Sebagai Contoh Pemimpin Terbaik



Wohgomok bukanlah seorang penulis hebat yang tersohor atau berpengalaman, tidak juga terlatih untuk menulis tentang kisah mereka-mereka yang ternama dan berkuasa dengan bahasa-bahasa yang mengampu sehingga boleh menyebabkan agin-angin busuk yang nak terkeluar dari perut mereka tak jadi keluar kerana asyik membaca pujian-pujian melampau dari penulis dan seterusnya memikirkan apakah habuan yang patut di beri kepada penulis ini sebagai upah kepada pujiannya. Wohgomok sedar bahawa masa yang Wohgomok gunakan untuk menulis kisah ini bukanlah untuk di tukarkan dengan projek-projek ihasan atau kawasan-kawasan balak sebagai habuan. Wohgomok juga tahu hatibudi orang yang akan Wohgomok kisahkan bukanlah orang yang boleh hilang pertimbangan kerana menerima pujian.

Orang yang Wohgomok ingin ceritakan ini ialah YAB Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan (TGNA) yang Wohgomok kenal dari dekat sejak tahun 1976 lagi. Semasa itu Wohgomok sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM. Oleh kerana tidak mahu membuang masa percuma (“malas dok ssaja”, kata orang Kelantan) maka Wohgomok telah bekerja sebagai drebar kepada Ahli Parlimen Bachok, YB Haji Mohd. Zain Abdullah atau lebih di kenali dengan panggilan Cikgu Zain (Sekarang bekas YB) yang kebetulan arwah isterinya sepupu kepada Wohgomok dan beliau pula sepupu kepada isteri Wohgomok sekarang. Ketika itu TGNA juga adalah Ahli Parlimen bagi kawasan Pengkalan Chepa, yang juga sentasa di temani drebarnya iaitu Pak Lah (Bukan Pak Lah Badawi) yang kekal menjadi drebarnya sampai sekarang. Setiap kali ada mesyuarat parlimen TGNA akan ke Kuala Lumpur dengan menggunakan sebuah kereta sahaja bersama-sama Cik gu Zain yang mana kereta yang digunakan samada kereta TGNA atau kereta Cik gu Zain. Semasa di Kuala Lumpur TGNA, Cik gu Zain, Wohgomok atau Pak Lah menginap di Hotel Purnama, sebuah hotel murah di Jalan Ipoh, berdekatan dengan bangunan LUTH lama dan pasar borong ketika itu. Turut menginap di situ juga ialah Allahyarham YB Ustaz Wan Sulaiman (bekas AP Pasir Puteh) dan Allahyarham YB Tuan Guru Hj. Zakaria (bekas AP Rantau Panjang). Wohgomok masih ingat satu peristiwa disuatu pagi (mungkin TGNA dan Cik gu Zain sendiri tidak mengingatinya atau tidak menganggap sesuatu yang harus di ingati) ketika TGNA dan Cik gu Zain sedang mengisi borang tuntutan perjalanan untuk Ahli Parlimen, tiba-tiba TGNA bertanya kepada Wohgomok samada Wohgomok masih ingat atau tidak yang pada satu tarikh (Wohgomok sudah lupa tarikhnya) TGNA dan Cik gu Zain datang ke Kuala Lumpur dengan kereta siapa. Oleh kerana pada masa itu tarikh yang di tanya masih lagi baru, maka Wohgomok boleh mengingatinya.Wohgomok dengan pantas menjawab, “Dengan kereta Abang Zain, Ustaz” (Wohgomok membahasakan Abang Zain kepada Cik gu Zain dan pada masa itu Ustaz kepada TGNA). Lalu TGNA meminta Wohgomok tolong belikan getah penyapu (eraser). Wohgomok bertanyakan balik pada TGNA, “nak buat apa?”, TGNA menjawab, “Ambo tersalah masuk klim dalam borang klim ambo”. Oleh kerana Wohgomok juga boleh dikatakan mulut celupar (“mulut cepelaq”, kata orang Kelantan), Wohgomok menjawab, “Tak apalah Ustaz, dia bukan tahu kita datang dengan kereta siapa”. TGNA terus mengalihkan pandangannya kepada Wohgomok dengan berkata, “Dia tak tahu, tapi Allah tahu”. Dengan jawapan TGNA itu, Wohgomok tersentak dan terus turun dari bangunan hotel untuk pergi membeli getah penyapu yang di minta oleh TGNA.

Satu lagi kisah lain berkenaan TGNA yang boleh Wohgomok ceritakan ialah pada 14hb Oktober 2007 Wohgomok telah mengadakan satu keduri di rumah Wohgomok sempena perkawinan anak perempuan Wohgomok yang keenam. Seminggu sebelum itu Wohgomok pergi solat Asar di mesjid TGNA di Pulau Melaka. Selepas selesai solat Wohgomok kehadapan untuk meminta TGNA mengakad nikah anak Wohgomok pada 13hb Oktober 2007 di sebelah malam dan sekali gus menjemput TGNA untuk hadhir dalam kenduri pada keesokannya, TGNA memberi kesanggupan dengan berkata InsyaAllah. Namun Tuan Imam Mukim Chicha (rumah Wohgomok di Kampong Chicha tidak jauh dari rumah Tuan Imam) tidak membenarkannya. Niat Wohgomok untuk TGNA menikahkan sendiri anak Wohgomok terpaksa dibatalkan. Keesokannya juga TGNA tak sempat hadir majlis kenduri di rumah Wohgomok kerana ada program di Balai Islam, Kota Bharu dan beberapa program tempat-tempat lain.

Sehari selepas kenduri Wohgomok terima panggilan talipon dari Pak Lah (diingatkan sekali lagi bukan Pak Lah Badawi tapi Pak Lah drebar TGNA) mengatakan TGNA nak datang rumah Wohgomok pukul 10 pagi, ketika itu jam sudah hampir pukul 9 pagi. Wohgomok tak sempat nak buat persiapan. Isteri Wohgomok hanya sempat beli roti berinti kelapa di kedai roti kat depan rumah Wohgomok.

Lebih tak berapa minit pukul 10 pagi masuklah kereta Perdana hitam yang di pandu oleh Pak Lah ke depan rumah Wohgomok yang didalamnya TGNA di tempat duduk belakang dan pengawal peribadinya, Pak Ya di tempat duduk hadapan. TGNA turun dari kereta dengan diiringi oleh Wohgomok untuk masuk dalam rumah Wohgomok. Hanya roti yang debeli isteri Wohgomok tadi dan teh o yang mampu di hidangkan kerana gulai kenduri semalam telah habis. TGNA tidak kekok makan roti dan minum the o sambil duduk bertimpuh diatas lantai (bukan diatas kerusi empuk) bersama Wohgomok. Sila lihat slideshow diatas sebelah kanan, bertajuk MB Berjiwa Rakyat dan klik pada gambar untuk melihat sepenuhnya.

Dari pengalaman Wohgomok ini, membuktikan bahawa TGNA bukanlah seorang yang angkuh dengan kedudukannya dan tidak berlakun macam dalam filem hindustan sebagaimana yang turut di tiru lakunannya oleh “pemimpin-pemimpin tanah liat” dan “ulamak-ulamak plastik” hari ini.

Banyak lagi peristiwa-peristiwa yang Wohgomok tahu yang boleh membuktikan keikhlasan dan kejujuran TGNA, tetapi kalau hendak di ceritakan semua, takut jemu pulak saudara pembaca sekelian. Nanti Wohgomok ceritakan di lain postng.

-Salam dari WohGomok